SUNGAI PETANI: Pelajar sekolah berusia 16 yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) yang merempuh dua pemotong rumput sehingga mengakibatkan seorang daripadanya maut di Jalan Pintasan Semeling, di sini pada Sabtu dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah Superintendan Mohd Mahiri Hussain berkata, polis telah merekod keterangan daripada pelajar terbabit dan penjaganya turut dipanggil bagi membantu siasatan.


Menurut Mohd Mahiri, mengikut keterangan pelajar terbabit, dia mengambil kunci kenderaan dan memandu tanpa pengetahuan bapanya.

Katanya, ketika itu bapa pelajar terbabit tiada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri.

"Kita ambil keterangan dan bebaskan dengan jaminan polis. Kita akan panggil ibu bapa dia, kita akan jalankan siasatan kalau lebih kepada kecuaian kita akan ambil tindakan saman kerana membenarkan budak yang tidak memiliki lesen memandu," katanya ketika ditemui di sini hari ini.


Kemalangan | Seorang pemotong rumput maut dirempuh kereta

Dalam kejadian jam 11 pagi Sabtu, seorang pekerja pemotong rumput Cinglowpa, 20, warga Myanmar, meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakan senegara berusia 33 tahun patah bahu kanan selepas dirempuh sebuah MPV.

Dalam kejadian itu, pemandu MPV terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh dua batang pokok sebelum merempuh dua mangsa yang sedang berehat di bahu jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Rempuhan Maut | Pelajar 16 tahun dibebaskan dengan jaminan polis